OSLO: Suspek pembunuhan kejam dan perancang pengeboman yang mengemparkan seluruh Eropah serta dunia hujung minggu lalu, pada Isnin telah dihadapkan ke mahkamah di sini secara tertutup.
Anders Behring Breivik dilaporkan tiba di sebuah mahkamah di sini dan kemudiannya dibawa keluar menggunakan sebuah Mercedes berperisai melalui pintu belakang.
Inilah pertama kali dia dihadapkan ke mahkamah selepas ditahan Jumaat lalu ekoran tindakannya melepaskan tembakan dan sebelum itu meletupkan bangunan kerajaan pusat yang mengorbankan 93 orang - sebahagian besarnya remaja.
Dia dilaporkan berada di dalam mahkamah selama lebih kurang 40 minit.
TV2 Norway menayangkan satu imej yang agak kabur yang dipercayai Behring Breivik memakai penutup kepala berwarna merah sedang dibawa keluar dari bangunan mahkamah.
Orang ramai yang berhimpun di bangunan mahkamah setelah mendapat khabar berita mengenai perbicaraan Anders Behring Breivik berasa kecewa sambil menayangkan poster yang tertera perkataan "Pengkhianat" dan "Pembunuh".
Sementara itu beribu warga Norway di bandar ini diketuai oleh Perdana Menteri Jens Stoltenberg dan Raja Harald V mengadakan majlis memperingati mangsa-mangsa pembunuhan itu di pekarangan Universiti Oslo sambil membacakan doa.
"Untuk menghormati dan mengenangkan mereka yang terkorban dalam tragedi ini, marilah kita bertafakur selama satu minit," kata Stoltenberg tepat menjelang tengah hari sebelum menandatangani buku takziah yang dibuka khas untuk mangsa-mangsa pembunuhan itu.
Pada masa yang sama perkhidmatan kereta api di seluruh Norway telah dihentikan seketika bagi memperingati mangsa-mangsa dan pasaran saham dihenti niaga buat sementara waktu.
Jiran-jiran negara Skandinavia seperti Sweden, Finland, Denmark dan Iceland turut mengadakan majlis bertafakur selama seminit serentak pada masa yang sama dan mengibarkan bendera separuh tiang.
"Ia adalah satu serangan ke atas segala nilai yang negara kita semua perjuangkan...ia adalah serangan ke atas kita semua," kata Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen.
Menurut peguamnya, Anders Behring Breivik telah pun mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan tersebut tetapi pada masa yang sama menafikan tindakannya itu adalah satu perbuatan jenayah.
Peguamnya Geir Lippestad telah dilaporkan berkata, lelaki berusia 32 tahun itu telah mengakui bahawa dialah yang merancang pengeboman kereta di hadapan kompleks pejabat perdana menteri di tengah-tengah bandar ini Jumaat lalu dan selepas itu mengaku melepaskan tembakan dan membunuh seorang demi seorang mangsanya.
Malah Lippestad berkata, anak guamnya hanya mempunyai dua hajat sahaja: "Pertama ialah agar perbicaraannya dibuat secara terbuka dan kedua ialah dia ingin menghadiri perbicaraannya dengan memakai pakaian seragam."
Sebelum melakukan serangan maut itu, Behring Breivik telah menulis satu manifesto setebal 1,500 halaman dengan berkata bahawa dia adalah sebahagian daripada 80 pejuang syahid yang diwujudkan di seluruh benua barat Eropah dalam usaha untuk menjatuhkan mana-mana kerajaan yang bertoleransi ke atas Islam dan menambah, kini Scotland Yard (polis Britain) sedang berusaha untuk mengenalpasti apakah dia pernah memasuki negara itu menerusi London.
Sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan terbunuh dalam letupan kereta di luar pejabat perdana menteri dalam satu tindakan apa yang disifatkan sebagai usaha untuk mengalih perhatian polis ke atas langkah untuk melakukan pembunuhan lebih ramai yang disasarkannya ke atas kem remaja Parti Buruh yang sedang berlangsung di Pulau Utoeya, yang terletak 40 kilometer dari sini.
Angka rasmi kematian dari insiden tembakan di pulau itu setakat ini kekal 86 orang.
Peristiwa terbaru ini telah mencetus kembali gesaan ramai agar Norway kembali memperkenalkan hukuman mati ke atas penjenayah seperti ini.
Pada masa ini hukuman penjara maksimum di Norway hanyalah berjumlah 21 tahun sekaligus bermakna jika didapati bersalah, Behring Breivik hanya akan dihukum penjara 82 hari untuk setiap pembunuhan yang dilakukannya Jumaat lalu.
Behring Breivik mengakui bahawa perbuatannya itu akan disumpah dan disifatkan sebagai "raksasa" tetapi ia dilakukan demi untuk menamatkan apa yang disifatkannya sebagai penjajahan Muslim di benua Eropah berabad-abad lamanya.
Kejadian itu juga turut mengundang kritikan ke atas pasukan polis yang dikatakan lambat bertindak iaitu mengambil masa sehingga lebih sejam untuk tiba di pulau itu sekaligus memberi peluang kepada Behring Breivik melakukan tembakan pusingan kedua di kepala setiap mangsanya bagi memastikan kematian mereka pada kadar seminit seorang mangsa.
Sumber :mStar Online
P/S:Hukuman Bunuh di Norway hanya memungkinkan dia dipenjarakan 21 tahun.Kalau di Malaysia...nyawa ganti nyawa..gantung ...
harap dia dapat hukuman setimpal :/