Masa mula2 terjebak nak buat blog dulu..apa yang dalam kotak fikiran aku nak buat entry pasal politik sebab sebenarnya aku memang meminati politik walupun sebenarnya bukan main politik sangat pun..sekadar ahli je.Kalau setakat baca paper,berita tak ada uumph'jadi aku mula terjah blog politik..ganas rupanya.
Dunia siber semacam ada pertempuran baru dalam memperjuangkan ideologi politik masing2.Secara jujur aku katakan pertempuran ni sebenarnya bagus dalam kita mahu melihat suara demokrasi apatah lagi jika blog itu dtgnya dari rakyat marhain kerana ada manusia yang terkunci mulutnya tetapi jari jemari bebas berkelana di keypad dalam menzahirkan suara hati.Aku berminat nak jadi komentar dalam sesuatu isu...tetapi tak sempat nak buat pun sebab ada pihak yang siang2 dah kasi warning kat aku..kalau nak selamat..dok diam je lah.Kerna terpaksa dan berat hati..aku pendamkan je lah minat aku tu..sekadar jadi pemerhati je..Francisca Peter cakap..Sekadar Di Pinggiran...huhuhu...aku terbaca stu artikel di Sinar Harian..bagus untuk dibaca yang ditulis oleh - RAHMAN SHAARI-Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya sejak tahun 2003, dan kini sebagai Felo Penyelidik Kanan di Jabatan yang sama.
Politik baik dan buruk
- RAHMAN SHAARI
Suasana politik tanah air kian meriah. Kini penghujung 2010, kita dapat mengikuti betapa hebatnya cabaran yang dihadapi kerajaan dan juga pembangkang. Rata-rata mereka berusaha melukiskan hakikat politik. Musuh dahulu ialah kawan kini, demikian juga yang sebaliknya. Pengikut keliru, kecuali jika pengikut itu ahli fikir yang sentiasa bersedia untuk melihat kecelaruan.Pembangkang baru-baru ini mengemukakan perbandingan antara ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat. Adalah cukup menarik apabila perempuan Melayu dengan bangganya menganjurkan ketuanan Melayu ditolak. Pada masa lalu, (kononnya) ada orang Melayu bertanya, “Siapakah yang berupaya menebang pokok kayu?” Kawannya menjawab, “Kapaklah.” Orang yang bertanya itu berkata, “Bukan, yang boleh menebang ialah kayu itu sendiri. Kayu telah menjadi hulu kapak, orang memegang kayu untuk menebang pokok kayu.”
Demikianlah anekdot yang bagus, membayangkan kayu menebang kayu, iaitu pelukisan hanya Melayu menebang Melayu. Saya membawa perkara ini secara umum, kerana peristiwa Melayu menjatuhkan Melayu – secara langsung atau tidak – sudah lama berlaku. Di kampung-kampung misalnya, pada dekad 60-an, pekedai-pekedai Melayu menjadi amat susah dan menderita disebabkan orang Melayu berhutang dan tidak gemar membayar. Tidaklah silap jika dikatakan pekedai bukan Melayu lebih senang dan selesa berkedai di kampung, kerana orang Melayu tidak membawa masalah kepada mereka.
Orang Melayu dalam kerajaan kurang memberikan perhatian kepada Melayu secara keseluruhannya. Peristiwa penolakan ketuanan Melayu oleh pembangkang Melayu pada hakikatnya disandarkan pada keadaan tersebut. Orang Melayu dalam kerajaan hanya menolong Melayu yang dekat dengan diri mereka. Itulah dimaksudkan dengan istilah kronisme dan nepotisme. Pelaksanaan begini sebenarnya bertolak dari semangat yang biasa bagi semua orang. Sesiapa sahaja akan menolong anggota keluarga dan kawan-kawan. Siapa lagi yang hendak kita tolong jika bukan adik-beradik, saudara-mara dan kawan-kawan?
Apa yang menjadi masalah dalam melaksanakan kebajikan ialah perbuatan melupakan orang lain (selain keluarga dan kawan-kawan) yang berhak mendapat pertolongan. Pihak pembangkang dengan mudah dapat mencari contoh sejumlah besar Melayu yang tidak dibantu. Ketua pembangkang dapat menunjukkan contoh dengan mudah, kerana semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu, beliau juga tidak berusaha bersungguh-sungguh membantu orang Melayu. Beliau amat berpengalaman dalam suasana begitu, kerana masa diambilnya berada dalam UMNO amat panjang, iaitu dari 1982 hingga 1998.
Saya tidak fikir ketua pembangkang pernah menganjurkan penolakan ketuanan Melayu semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Yahya Ismail, seorang penulis buku politik yang prolifik, ada mengatakan, Ketua Pembangkang sebenarnya termasuk dalam golongan orang yang menikmati amalan konsep ketuanan Melayu. Tidaklah cepat saya menerima kenyataan Yahya, tetapi saya juga sukar menolaknya.
Jika tahap kecerdikan orang sekarang diambil kira, saya fikir bukanlah masanya untuk kita berbalah tentang ketuanan Melayu. Sesiapa saja, Melayu atau bukan Melayu, jika rajin berusaha, akan hidup senang dan bahagia di Malaysia. Malaysia ialah tempat selesa untuk rakyat mencari rezeki. Hal ini terbukti apabila kita melihat rakyat negara lain, jauh dan dekat, berduyun-duyun datang ke Malaysia, mencari rezeki. Sesetengahnya hanya memahami seratus patah perkataan Melayu, dan berpusing-pusing dengan kata-kata itu sahaja, namun masih dapat mencari rezeki di negara kita.
Hakikat ini tentulah tidak mudah ditolak. Seorang pemuda rakyat Malaysia yang ada SPM meninggalkan kerja bergaji dan membuka restoran. Pendapatannya jauh lebih besar daripada gaji pegawai. Jadi, tidaklah benar jika dikatakan keadaan di Malaysia merumitkan rakyatnya. Cuma, jika dikatakan kita masih boleh terus berusaha mempertingkatkan kebagusan, saya bersetuju.
Sekarang, kita melihat dan mendengar kekecohan di Parlimen. Saya mendapat SMS daripada penulis Terengganu, bertanya pendapat adakah kececohan itu menguntungkan Barisan Nasional, atau pembangkang? Saya menjawab, “Tidurlah, kerana tidur lebih baik daripada memikirkan hal itu.” Maksud saya, walaupun kecoh, itu lakonan biasa dalam politik. Pelakon-pelakon ialah orang-orang itu juga, cuma mereka mengubah perwatakan agar tidak menjemukan penonton.
Dalam tulisan lepas, saya sebutkan ketuanan Melayu yang dibisingkan kini, bukanlah konsep lama. Konsep itu mula disebut oleh Tan Sri Abdullah Ahmad, tokoh politik dari Kelantan. Konsep ketuanan rakyat, satu kekarutan baru, telah disebutkan oleh tokoh PKR tidak berapa lama setelah parti itu ditubuhkan. Semua ini perlu disebut berulang-ulang, kerana masing-masing mahu memperkukuh impak.
Jika rasional, kita dapat melihat segala slogan adalah baik. Ketuanan rakyat tidak akan menjadi karut, jika tidak dipertentangkan dengan ketuanan Melayu. Sepatutnya kita wujudkan konsep ketuanan rakyat tanpa mengatakan ketuanan Melayu itu refers to a master and slave. (Lihat The Sun, 2 Disember 2010). Jika ketuanan Melayu merujuk kepada ‘tuan’ dan ‘hamba’, ketuanan rakyat itu bagaimana? Bukankah kata ‘ketuanan’ itu masih ada? Jika ada ketuanan, mengikut logik tersebut, maka ada jugalah perhambaan. Apakah ertinya ketuanan rakyat, jika bukan orang besar di kalangan rakyat menjadi tuan? Dalam novel Animal Farm karya Goerge Orwell, terdapat kenyataan all animals are equal, but some animals are more equal than others. Kenyataan itu amat popular. Rakyat adalah sama, tetapi golongan wakil rakyat atau pemimpin rakyat adalah lebih sama. Apakah dimaksudkan dengan lebih sama?
Katakanlah rakyat memperoleh seribu ringgit. Jika pemimpin mendapat sejuta ringgit, itu adalah adil, kerana itu lebih sama? Pelik betul frasa ‘lebih sama’ (more equal) itu.
Dalam politik, selain slogan ‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Ketuanan Rakyat’, kita sudah ditimbuni slogan-slogan lain sebelumnya. Antaranya ‘Memandang ke Timur’, ‘Membangun Bersama Islam’, ‘Malaysian Malaysia’, dan sesekali berbunyi ‘Masyarakat Madani’. Semua itu tidak mengapa jika kita tidak keterlaluan dalam hal menyanjung dan mengkritiknya. Terimalah apa-apa yang baik dalam slogan-slogan yang banyak itu, perelok yang kurang baik, dan ketepikan yang buruk. Pihak pembangkang jangan terus mengatakan ketuanan Melayu buruk, dan pihak kerajaan jangan terus menyangkal ketuanan rakyat.
Lama dahulu saya menghasilkan sajak Alam Telah Betul. Gadis yang jelita berjalan ke sana sini, dan dia digilai ramai. Di dalam tubuhnya ada najis, kerana itu ialah hakikat manusia dan hakikat hidupan. Ini dapat dibandingkan dengan slogan, dan keseluruhan parti politik. Tidak mungkin elok kesemuanya. Namun, jika dijagai dengan baik dan saksama, parti politik amat berguna untuk rakyat.
Salam mesra untuk Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar
salam..
ermm..
nak kena reform
baru politik Malaysia
ni..